PAS vs PAS: 'Musuh dalam Selimut'
Seminar ini mengundang kritikan dari dalam PAS sendiri. Golongan yang sudah tidak mempercayai kepimpinan ulamak dalam PAS menghentam hebat dan mempersoalkan penganjuran seminar ini pada masa PAS akan mengadakan pemilihan parti. Seminar ini dilihat sebagai usaha golongan ulamak yang dikatakan pro-muqabalah untuk mempertahankan kedudukan kelompok mereka pada pemilihan parti Jun ini.
Datuk Dr Haron Din berkata musuh-musuh parti berpeluang menaikkan pemimpin tertentu melalui liputan meluas di media seperti yang terjadi menjelang muktamarnya, awal bulan depan.
"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti (organ rasmi) Harakah dan (mingguan politik) Siasah atau media-media lain. "Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti."
"Sesetengah pemimpin PAS yang hadir tidak senang dengan kenyataan tokoh ulama itu yang disifatkan mengkritik aliran pro-Pakatan Rakyat atau dikenali juga "kumpulan Erdogan." Mahfuz Omar pula enggan mengulas apabila ditanya wartawan mengenai perkara tersebut.
Perselisihan dalam perebutan jawatan pada pemilihan PAS Jun ini jelas berlaku walaupun dinafikan oleh kepimpinan PAS. Pergelutan antara golongan pro-muqabalah dan pro-pakatan yang menyokong Anwar Ibrahim cukup ketara. Penarikan diri oleh Haron Din dan Azizan Razak untuk jawatan Timbalan Presiden berkemungkinan satu usaha untuk mempermudahkan Nasharuddin mempertahankan jawatannya yang akan ditentang oleh Husam Musa dan Mohammad Sabu. Nasharudin adalah dari golongan pro-muqabalah manakala Husam adalah kepala erdogan yang pro-pakatan.
Pemilihan PAS kali ini bakal menggugat kestabilan PAS kerana pertembungan hebat antara dua puak yang cuba menguasai kepimpinan PAS dengan matlamat-matlamat berbeza. Pengaruh Anwar yang telah diserap ke dalam PAS sekian lama melalui individu-individu seperti Kamarudin Jaafar, Khalid Samad akan menguasai PAS dan hala tuju PAS akan berubah.