Pelantikan serta usul yang diluluskan adalah sah, menurut Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Hafarizam Harun dan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kes membabitkan krisis perlembagaan negeri Perak di mahkamah.
Empat usul tersebut ialah pemecatan V. Sivakumar sebagai Speaker, melantik bekas ADUN Sungkai Datuk R. Ganesan sebagai Speaker baru, melantik anggota baru jawatankuasa negeri dan mengisytiharkan persidangan DUN Perak 'di bawah pokok' yang dipengerusikan oleh Sivakumar pada 3 Mac lepas sebagai tidak sah.
Sivakumar berkata penggantungan Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco dilakukan dalam kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak dan bukan sebagai Speaker. Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan kedudukannya sebagai Speaker, perkara tersebut tidak boleh diguna pakai, dakwanya.
Muhammad Shafee berkata dakwaan Sivakumar itu tidak sah kerana dia telah mengeluarkan surat tunjuk sebab bagi menggantungkan Zambry dan enam exco BN atas kedudukannya sebagai seorang Speaker."Ianya juga kerana dia sebagai Speaker dan dia layak duduk sebagai pengerusi (jawatankuasa itu) jadi semuanya terikat," katanya.
Muhammad Shafee berkata dalam sebarang kes, Speaker tidak boleh menggantungkan mana-mana ahli Dewan untuk tidak melebihi sehari."Dia perlu merujuk perkara itu kepada Dewan bagi memastikan ianya dilaksanakan dengan teratur...dia tidak melakukannya dan mahkamah memerintahkan 'persidangan di bawah pokok' itu tidak sah," katanya ketika dihubungi.
Muhammad Shafee juga menolak dakwaan Sivakumar bahawa tiga wakil rakyat bebas "mesra BN' tidak harus menghadiri persidangan itu kerana ada kes saman yang dikemukakan oleh Sivakumar terhadap mereka masih belum diputuskan di mahkamah."Suruhanjaya Pilihan Raya (telah memutuskan bahawa mereka masih memegang kerusi dalam Dewan) dan juga mahkamah memutuskan mereka tidak pernah letak jawatan kerana surat peletakan jawatan yang pra tandatangan adalah tidak sah," katanya.
- Mr Sivakumar! wrong again.!!!!...