Selepas 24 tahun, DAP bertunas semula di Perlis~malaysiakini
DAP kembali bertunas di Perlis setelah 24 tahun tidak bergerak cergas apabila sekumpulan anggota masyarakat Cina yang tidak senang dengan MCA menubuhkan enam cawangan baru.
"MCA tidak berkhidmat. Rakyat tidak senang dengan MCA, terutama sekali di Padang Besar," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semua cawangan itu ditubuhkan sejak dua minggu lepas dan, menurut seorang pemimpin kanan DAP negeri, "mencipta satu sejarah" bagi parti itu.
Read More...
Kali terakhir parti tersebut mempunyai satu-satunya cawangan dalam parlimen Padang Besar adalah pada 1985 tetapi kemudian dibubarkan kerana tidak aktif, kata timbalan pengerusi DAP Kedah dan Perlis.
"Ada (cawangan) 24 tahun dulu, di Kaki Bukit, tapi tidak aktif dan diberhentikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana tidak ada laporan," kata Vincent Wu.
Tambahnya, enam cawangan tersebut termasuk masing-masing satu yang disahkan di Kangar dan Padang Besar dengan jumlah kedua- duanya lebih 150 ahli.
Manakala empat cawangan lagi dalam proses penubuhan secara rasmi.
Cawangan tersebut masing-masing satu dalam parlimen Kangar dan Padang Besar, manakala dua lagi di Arau.
Menurut Vincent, kekecewaan masyarakat Cina itu bertambah apabila MCA didakwa tidak membela mereka di Padang Besar.
"Di Padang Besar, sebelum ini orang Siam masuk kena isi borang untuk membeli barang, tidak payah pasport.
"Tapi tahun lepas, ia dihentikan, 90 peratus peniaga terjejas dan hasil perniagaan mereka jatuh," katanya.
Vincent juga mendakwa exco kerajaan Perlis daripada MCA Yip Sun Onn tidak mengambil tindakan berhubung aduan penduduk yang kemukakan kepadanya, terutama berhubung isu hak milik tanah.
"Kekecewaan dengan MCA Perlis menyebabkan mereka beralih arah dengan memberi sokongan kepada DAP," katanya lagi.
Tambahnya, DAP merancang berjumpa dengan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bagaimanapun tarikh belum ditetapkan lagi, katanya.